SABAK BERNAM: Seorang pelajar lelaki ditahan selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini, Isnin lalu.
Kejadian itu melibatkan mangsa berusia 15 tahun manakala suspek 14 tahun dengan kedua-dua mereka belajar di sekolah sama.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian seorang pelajar yang mengalami gangguan seksual.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika waktu rehat, kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek di tepi jalan Parit 1 Barat, Sungai Besar pada hari sama. Remaja yang juga pelajar sekolah itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Tambah Md. Yusof, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN