KUALA LUMPUR: Reman pemandu lori yang ditahan berhubung kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) sehingga mengorbankan seorang bayi lelaki pada Sabtu lalu, disambung dua hari lagi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 42 tahun itu sebelum ini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan bagi kes ini masih dijalankan dan suspek disambung reman sehingga Rabu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, polis sudah merakam keterangan lima individu termasuk pemilik kenderaan iaitu majikan pemandu lori terbabit.
Siasatan masih berjalan bagi menentukan benarkah berlaku masalah pada brek lori seperti didakwa pemandu terlibat.
Pemandu lori mengaku melompat keluar dari kenderaan berat itu selepas menyedari mengalami masalah brek.
Nahas berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya.
Kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan dengan muatan barang lusuh, Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Honda City dan Proton X70. – UTUSAN










