KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan kegiatan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi Telegram.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat bagaimanapun berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut memandangkan remaja terbabit masih di bawah umur.
“Perkhidmatan itu memang berlaku. Pada awalnya remaja terbabit adalah mangsa rogol dan mungkin disebabkan rasa kecewa, perkara tersebut berlaku.
“Bagaimanapun, itu satu kemungkinan dan sejak bila perkhidmatan ini ditawarkan, kita tidak pasti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena ulang Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, Polis Kelantan kini dalam proses mengambil keterangan daripada ibu bapa remaja berkenaan untuk membantu siasatan. – UTUSAN