PETALING JAYA: Taktik lebih rumit kini digunakan penjenayah rasuah untuk mengaburi sumber wang haram agar kegiatan rasuah mereka tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengesan penjenayah rasuah kini menggabungkan teknik tradisional dan digital bagi memastikan wang sogokan dapat ‘dicuci’ tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, antara taktik itu adalah dengan membuka perniagaan berasaskan tunai seperti kedai emas kerana emas mudah dipindahkan, disimpan serta dinilai semula tanpa banyak kesan jejak.
“Bagaimanapun, lebih membimbangkan adalah wujudnya kaedah baharu yang semakin licik, termasuk memanfaatkan teknologi moden dan rangkaian kewangan global. Ia menjadikan pengubahan wang haram lebih kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hanya bermodalkan wang rasuah, sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen didapati mampu membuka sebuah kedai emas disyaki hasil diterima mereka dalam tempoh empat tahun melakukan jenayah itu.
Suspek dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.
Menurut Jais lagi, salah satu taktik yang digunakan ialah Perdagangan Berasaskan Pengubahan Wang (Trade-Based Money Laundering), iaitu manipulasi invois dan penghantaran barangan untuk mengaburi sumber dana.
“Selain itu, permainan judi dalam talian turut dijadikan medium penukaran wang sogokan kepada bentuk ‘kemenangan’ yang seolah-olah dilihat sah,” katanya.
Jais berkata, aset digital dan mata wang kripto semakin popular dalam kalangan pelaku kerana ia membolehkan transaksi dipisahkan menggunakan ‘mixers’ atau platform DeFi yang sukar dikesan.
“Taktik lain yang kerap ditemui adalah penggunaan proksi keluarga bagi menyembunyikan pemilikan sebenar, selain membuka kedai runcit, restoran atau serbaneka yang beroperasi dengan aliran tunai tinggi,” katanya.
Tambah beliau, sebahagian penjenayah juga memilih untuk menyimpan hasil wang haram dalam bentuk aset mewah seperti hartanah, kereta import, karya seni serta barangan kemas yang mempunyai nilai tinggi dan mudah dijadikan pelaburan jangka panjang.
“Ancaman itu semakin serius kerana pelaku lazimnya menggabungkan beberapa kaedah sekali gus. Sebagai contoh, menggunakan proksi keluarga, melabur dalam kedai emas dan dalam masa sama memindahkan dana melalui platform kripto,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan terhadap sektor berisiko tinggi termasuk emas, kasino, e-wallet dan platform aset digital. – UTUSAN








