PETALING JAYA: Lori yang merempuh tiga kenderaan dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) semalam dipercayai diselenggara kali terakhir April lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan masih dijalankan sama ada betul berlaku masalah brek melibatkan lori terbabit.
“Semakan mendapati lori dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun diselenggara sekitar bulan April.
“Siasatan masih dijalankan berkaitan masalah brek yang dikatakan menjadi punca kemalangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian 10.50 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya.
Pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas brek tidak berfungsi sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
Akibat pelanggaran itu, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang. – UTUSAN










