KOTA TINGGI: Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 28.5 Jalan Kulai – Kota Tinggi malam tadi.
Mangsa Mohd Norfahmi Sarihat, 38 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR maut di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata pihak polis menerima maklumat kemalangan itu dari orang awam kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, kemalangan maut berkenaan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu motosikal jenis Suzuki Smash Revo, Yamaha Y16ZR dan motosikal jenis Honda RS150.
“Dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Y16ZR dari arah Kulai menghala ke arah Kota Tinggi telah melanggar belakang Suzuki Smash Revo SD yang berada di hadapannya di laluan sama.
“Ekoran itu penunggang Yamaha Y16ZR telah tercampak di tengah jalan dan digilis oleh motosikal Honda RS150 dari arah laluan sama yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tujuan prosedur siasatan.
Manakala penunggang motosikal jenis Suzuki Smash Revo merupakan warga asing berusia 34 tahun dan penunggang motosikal jenis Honda RS150 berusia 32 tahun telah dirujuk ke HKT bagi mendapatkan rawatan.
“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabitkan kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun.
“Polis IPD Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya,” katanya lagi. – UTUSAN










