PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 14 syarikat kerana terlibat sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan dalam Op Sohor pada 14 Ogos lalu.
Sumber berkata, ini selepas keterangan sepuluh individu diambil bagi membantu siasatan Op Sikaro yang dijalankan pada Selasa lalu.
Katanya, siasatan menunjukkan wujudnya rangkaian perlindungan lebih luas.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan taktik pengisytiharan palsu (misdeclaration) semasa proses import dengan menukar kod kastam atau butiran barang.
“Rokok dan cerut yang diseludup disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran,” katanya.
Kata sumber, SPRM juga sedang mengesan aset lain yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram oleh pegawai kastam yang disyaki terlibat serta syarikat pengimport.
“Ini selepas SPRM membekukan beberapa akaun bank milik persendirian dan akaun syarikat melibatkan nilai kira-kira RM218 juta,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM mengenal pasti sebanyak 14 buah syarikat disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta.
SPRM tidak menolak kemungkinan wujudnya penglibatan segelintir penguat kuasa sebagai pemudah cara dalam kegiatan itu.
Mereka berperanan memberi laluan mudah di pintu masuk negara dengan melindungi operasi gudang penyimpanan serta tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan rokok dan cerut seludup. – UTUSAN










