KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi masih menunggu pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan penahanan dua pengamal media menerusi Op Sohor kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang tindakan lanjut hanya akan diambil selepas menerima laporan penuh daripada SPRM.
“Sekiranya ada pelanggaran syarat berkaitan media, saya akan minta Jabatan Penerangan mengambil tindakan.
“Buat masa ini, kita menunggu laporan rasmi daripada SPRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, SPRM akan memanggil pemilik syarikat media dalam talian susulan penahanan wartawannya menerusi Op Sohor kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pemilik syarikat terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan agensi media atas talian direman disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Selain itu, turut ditahan reman seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta wanita warga asing. – UTUSAN










