40 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan

40 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 40 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di lima penempatan sekitar daerah Semporna dan Kunak, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi yang bermula pada pukul 12.00 tengah malam itu melibatkan 40 anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu serta unit penguatkuasaan dari Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

“Operasi ini dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu. Seramai 73 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing diperiksa, dan daripada jumlah itu, 40 warga asing ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan melibatkan 19 lelaki, empat wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan, masing-masing warganegara Pakistan, Filipina dan Indonesia.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Semporna untuk dokumentasi dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“JIM Negeri Sabah menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan majikan yang menggaji pekerja asing secara haram. Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 19,252 individu telah diperiksa dengan 3,902 tangkapan dibuat, manakala 6,521 PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.

Menurut beliau, pihaknya akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan tinggal dan bekerja di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×