Lelaki Bangladesh menangis ketika ditahan penguat kuasa Imigresen

Lelaki Bangladesh menangis ketika ditahan penguat kuasa Imigresen

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di Jalan Datuk Keramat, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang lelaki Bangladesh menangis sebagai cubaan untuk meraih simpati ketika ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam satu operasi yang diadakan di Jalan Datuk Keramat di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki itu merupakan antara 21 warga asing yang ditahan selepas dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen susulan satu pemeriksaan yang dijalankan di empat buah premis perniagaan di sini.

Pengarah Imigresen negeri, Syamsul Fitry Ahmad berkata, ketika ditanya, lelaki terbabit mendakwa bahawa dia hanya datang ke salah sebuah premis yang diperiksa itu untuk membeli barangan dan terkejut apabila dia turut ditahan oleh pihak berkuasa.

Syamsul Fitri berkata, bagaimanapun, pemeriksaan serta risikan awal mendapati, terdapat beberapa perkara yang meragukan terutamanya selepas lelaki itu mendakwa bahawa dia merupakan seorang pekerja hotel.

“Kita percaya dia mungkin bekerja di premis tersebut (premis perniagaan), tetapi, kita akan disiasat. Kita juga akan ambil keterangan daripada lelaki Bangladesh ini sebelum menghubungi pihak hotel serta majikan untuk pengesahan lanjut,” katanya ketika ditemui semasa turut-serta dalam operasi berkenaan.

Secara keseluruhannya, Syamsul Fitry berkata, seramai 35 individu telah diperiksa dalam operasi yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang susulan aduan yang diterima daripada orang awam itu.

“Kesemua 21 warga asing yang ditahan ini pula berusia antara 18 hingga 51 tahun serta terdiri daripada 15 lelaki warga India, tiga lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf,” ujar beliau.

Dalam operasi yang sama katanya, pihak Imigresen turut mengeluarkan lima Borang 29 iaitu saman saksi kepada rakyat tempatan bagi membantu siasatan manakala kesemua tahanan pula dibawa ke pejabat Imigresen Pulau Pinang bagi proses dokumentasi dan rakaman keterangan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Jawi untuk siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN