PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memastikan proses melucut hak dan pelupusan aset hasil kegiatan jenayah dilaksanakan dengan penuh integriti dan berlandaskan kepentingan awam.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad berkata, pihaknya bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang melalui penyiasatan dan pertuduhan, tetapi memastikan pengurusan selepas siasatan selesai.
Beliau berkata, satu mekanisme kerjasama yang menyeluruh perlu diadakan agar setiap tindakan sama ada daripada pihak penguat kuasa mahupun sektor swasta adalah selari dan berkesan.
“Kita ingin mewujudkan satu ekosistem pengurusan aset yang bukan sahaja efisien, tetapi juga diyakini oleh masyarakat dan pasaran.
“Ini telah dibuktikan melalui kejayaan pelupusan mata wang kripto apabila SPRM dengan kerjasama Cyber Security Malaysia telah menjadi agensi pertama di Malaysia yang melupuskan mata wang kripto kepada Kerajaan Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Program Public-Private Partnership (PPP): Sektor Pengurusan Aset di Ibu Pejabat SPRM semalam.
Norhaizam, beliau yakin dengan pengalaman, kepakaran dan keterbukaan dibawa oleh semua pihak mampu menghasilkan perbincangan bermakna.
“Diharap perbincangan ini dapat menambahbaik proses serta pengendalian pelupusan berkaitan pengurusan aset.
“Program ini diadakan bagi mewujudkan ruang kolaborasi yang lebih erat, bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan mencadangkan langkah-langkah praktikal dalam memudahcarakan proses pelupusan ke atas harta-harta yang telah dilucut hak khususnya oleh SPRM,” katanya.
Katanya, program berkenaan selaras dengan Pelan Strategik Bahagian AML SPRM untuk mengadakan kerjasama dengan pihak awam dan swasta serta institusi pengajian universiti kerana pengurusan aset antara sektor yang sensitif dan berisiko tinggi. – UTUSAN