KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula artis legenda untuk dirakam keterangan berhubung kes serangan secara secara lisan terhadap penyanyi Shila Amzah.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, namun tindakan memanggil artis itu bergantung kepada keperluan siasatan polis memandangkan satu laporan dibuatnya baru-baru ini.
“Setakat ini, kita sudah rakam empat keterangan dan akan memanggil beberapa individu lain lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Semalam, tiada kertas siasatan lain dibuka membabitkan kes serangan secara secara lisan terhadap Shila Amzah oleh seorang artis legenda itu semasa sesi latihan konsert di Stadium Merdeka baru-baru ini.
Siasatan dijalankan polis dilakukan secara selari bersama kertas siasatan yang dibuka sebelum ini.
Kelmarin, polis memaklumkan kertas siasatan membabitkan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya untuk kajian lanjut dan kini menunggu arahan dan keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu mendapat perhatian ramai selepas Shila membuat laporan polis mendakwa diserang artis legenda ketika sesi latihan konsert, yang turut dikongsikan di Instagram Story sehingga mencetuskan pelbagai reaksi peminat serta warga industri hiburan. – UTUSAN