PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kekecohan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 di Ibu Negara pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan itu akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Keterangan seramai 19 saksi telah diambil membabitkan 11 saksi polis diikuti pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (4 orang) dan wartawan (dua orang),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 29 Jun lalu, polis menerima tiga laporan polis berkaitan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di ibu negara.
Ia susulan kejadian salah seorang peserta perhimpunan mula membakar suar sehingga menyebabkan kepulan asap tebal.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, tindakan pelaku itu menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan juga orang awam berdekatan.
Ekoran dari tindakan tersebut, pihak polis mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak.
Semasa tindakan pencegahan diambil, berlaku pergelutan antara peserta perhimpunan dan anggota polis Op Aman sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada salah seorang petugas.
Kertas siasatan polis dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atau Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta yang sama. – UTUSAN