MELAKA: Seorang pengasuh direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Padang Temu di sini, Rabu lalu.
Perintah reman terhadap wanita bujang berusia 26 tahun itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan pengabaian, pendedahan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Suspek yang beralamat di Alai di sini tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai polis kira-kira pukul 9.20 pagi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia di sebuah taska di Padang Temu dipercayai akibat lemas selepas mangsa yang dibedung ditemui tertiarap atas tilam, petang Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa didakwa telah dikejarkan ke klinik, namun disahkan meninggal dunia selepas dirujuk ke Hospital Melaka.
Menurut sumber, kejadian hanya disedari berlaku ketika pengasuh memeriksa keadaan mangsa selepas menidurkannya kira-kira satu jam. – UTUSAN