PETALING JAYA: Sitaan dan pembekuan RM332.5 juta akaun dan harta telah dibuat Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri pada Isnin lalu.
Menurut sumber, sehingga kini jumlah itu adalah hasil pembekuan akaun dan penyitaan harta milik syarikat dan individu yang terbabit dalam eksport besi buruk itu dengan menyeleweng cukai.
Kata sumber, ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disiasat bagi kes seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan menyeleweng cukai itu juga akan disambung rakaman percakapan Isnin ini.
“Lelaki itu sudah dirakam percakapan semalam selepas tiba dari luar negara bagaimanapun dia tidak ditahan.
“Suspek akan dipanggil semula Isnin untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Datuk Seri terbabit antara individu yang disiasat SPRM kerana terbabit seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.
Kegiatannya terbongkar selepas SPRM menyerbu di lima negeri yang terbabit sindiket penyeludupan besi buruk yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Susulan serbuan itu, tiga unit banglo, penthouse, lot kedai, tanah, ladang kelapa sawit, kereta mewah dan jam tangan mewah antara aset yang disita dianggarkan bernilai lebih RM183 juta.
Serbuan di bawah Op Metal dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia itu turut membekukan 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu, membabitkan nilai kira-kira RM51 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini turut mengesahkan mengenai pembekuan akaun perbankan berkenaan serta sitaan melibatkan hartanah, kenderaan mewah serta jam tangan.
Fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009.
Selain penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram termasuk siasatan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat alam operasi ini. – UTUSAN