PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat tiga individu sekeluarga kerana disyaki mendalangi kartel pembekalan susu tepung tidak mengikut piawaian SIRIM ke sebuah jabatan kerajaan bernilai kira-kira RM120 juta.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada pasangan suami isteri dan seorang anak mereka berusia antara 40 hingga 70-an, merupakan dua pemilik dan seorang pengarah syarikat terlibat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan menerusi Op White hasil kerjasama Bahagian Operasi Khas (BOK) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Serbuan dilakukan hari ini ke atas tiga kediaman dan sebuah syarikat sekitar ibu negara, berpandukan maklumat risikan selama tiga bulan. Seramai tiga suspek telah dipanggil ke SPRM Kuala Lumpur untuk dirakam keterangan,” katanya di sini hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati syarikat milik pasangan itu dipercayai memonopoli tender pembekalan susu tepung sejak 20 tahun lalu dan telah membekalkan produk tidak menepati piawaian keselamatan makanan sejak 2021 hingga 2024.
“Sejak 2024, skop kontrak mereka dikurangkan kepada dua zon sahaja iaitu Zon Selatan dan Pantai Timur,” katanya.
Katanya, SPRM turut membekukan 75 akaun bank yang melibatkan 24 akaun individu dan 51 akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM69 juta.
Seorang lagi anak pasangan itu yang juga merupakan pengarah syarikat kini berada di luar daerah atas urusan kerja dan telah diarahkan pulang bagi membantu siasatan.
Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan turut melibatkan elemen jenayah lain termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 serta Akta Cukai Pendapatan 1967. – UTUSAN