‘Jangan timbul provokasi sepanjang Himpunan Turun Anwar berlangsung’

‘Jangan timbul provokasi sepanjang Himpunan Turun Anwar berlangsung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan peserta dan penganjur Himpunan Turun Anwar agar berhimpun secara aman tanpa melakukan sebarang provokasi sehingga mencetuskan keadaan tidak aman.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, berdasarkan maklumat dan risikan cawangan khas, seramai 15,000 orang dijangka menyertai perhimpunan itu sekitar ibu negara pada 26 Julai ini.

Kata beliau, seramai 2,000 anggota polis digerakkan bagi memastikan keselamatan perhimpunan itu.

“Maklumat awal diperoleh, peserta yang menyertai himpunan itu akan berkumpul di empat lokasi iaitu di Sogo, Pasar Seni, Masjid Jamek dan Masjid Negara sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.

“Walaupun masyarakat mempunyai hak untuk berhimpun, saya harap mereka berkumpul secara aman di bawah Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohamed Usuf berkata, setakat ini, tiada penutupan jalan di lokasi berhimpun namun perkara itu bergantung kepada keperluan semasa.

Katanya, tindakan boleh diambil sekiranya mendapati terdapat sebarang ucapan atau provokasi dibuat sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

“Jangan bakar apa-apa benda termasuk suar seperti perhimpunan sebelum-sebelum ini.

“Jika ada apa-apa kesalahan dikesan, contohnya terdapat provokasi atau isu 3R (raja, kaum dan agama) dibangkitkan, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) dan dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan mengisytiharkan subseksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai tidak sah dari segi Perlembagaan.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN