PETALING JAYA: Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan seorang penyanyi legenda selepas bertindak menyerang Shila Amzah ketika sesi latihan konsert baru-baru ini.
Siasatan polis mendapati punca seorang penyanyi legenda berkenaan bertindak demikian kerana rasa tidak berpuas hati apabila Shila Amzah dikatakan mencampuri masalah keluarganya.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini, empat individu sudah dirakam percakapan termasuk saksi di lokasi kejadian.
“Suspek yang terbabit dalam kejadian ini juga sudah dirakam keterangan.
“Siasatan kita mendapati punca kejadian ini adalah rasa tidak puas hati suspek terhadap pengadu yang mencampuri masalah keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Usuf mengesahkan tiada laporan tambahan diterima daripada mana-mana pihak lain selain laporan oleh pengadu berkaitan insiden ini.
Siasatan dijalankan susulan laporan dibuat penyanyi wanita itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang, mendakwa diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda ketika sesi latihan konsert.
Laporan dibuat Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah kira-kira pukul 5.31 petang, Khamis lalu.
Berikutan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










