PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melucutkan hak wang bernilai AS$954,299.58 di dalam akaun BSI Bank, Switzerland yang mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, kebenaran lucut hak ini diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Muniandy Kannyappan selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa tiada bantahan serta tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur, hari ini.
Menerusi penghakimannya, Hakim Muniandy Kannyappan membenarkan wang dalam akaun perbankan atas nama Derivale Limited, milik Azlin Alias selaku pemegang benifisiari dilucutkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi SPRM.
“Lucut hak bagi wang berkenaan dibuat di Bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Ini merupakan kejayaan pertama SPRM melucuthak aset luar negara tanpa melibatkan pendakwaan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN