MELAKA: Remaja lelaki yang disyaki membunuh ibu dan abangnya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini, semalam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman sehingga 19 Jun ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek berusia 17 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi sebelum dibawa keluar dengan menaiki van polis berwarna putih pada pukul 11.30 pagi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang guru wanita bersama anak sulungnya masing-masing berusia 51 dan 21 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, semalam.
Seorang lagi anak lelaki mangsa berusia 13 tahun turut ditemukan dalam keadaan parah akibat ditikam di hadapan rumah berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menahan seorang remaja lelaki dalam keadaan termenung di hadapan rumahnya. – UTUSAN