Pengerusi NGO disyaki seleweng dana ditahan SPRM

Pengerusi NGO disyaki seleweng dana ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahguna kuasa  dengan menyeleweng dana milik NGO di tempatnya bekerja.

Penahanan suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dibuat pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Melaka.

Satu sumber berkata, penahanan lelaki itu susulan empat individu ditahan semalam kerana disyaki terbabit salah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO.

“Susulan tangkapan itu, SPRM telah mendapat maklumat tambahan bahawa pengerusi ini telah bersubahat dengan keempat-empat suspek terbabit,” katanya.

Sumber berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga tahun ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Majistret Sivashangari Nagalingam membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Jun ini selepas permohonan dibuat SPRM  di Mahkamah Majistret Melaka.

Semalam, SPRM menahan reman empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki bersubahat menyeleweng aset dan wang tunai berjumlah RM8 juta.

Keempat-empat suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan antara pukul 4 petang hingga 7 malam Rabu lalu.

SPRM telah menyita wang tunai berjumlah RM900,000 dan membekukan 14 akaun yang terdiri daripada lapan akaun individu serta enam akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN