SHAH ALAM: Kegiatan haram seorang pemandu e-hailing yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dikenali Geng Alstonia sejak lapan bulan lalu berkubur selepas dicekup bersama lapan individu lain, Selasa lalu.
Sindiket diketuai lelaki berusia 30-an yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang itu dipercayai menyasarkan pusat hiburan dan individu perseorangan menerusi urus niaga bersemuka atau secara atas talian.
Kelicikan suspek tempatan bersama enam lelaki dan dua wanita termasuk warga asing berusia 24 hingga 36 tahun itu itu berakhir selepas diberkas polis dalam lima siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan negeri ini, bermula kira-kira pukul 6 petang.
Hasil penahanan menerusi Ops Alstonia lebih lima jam itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM5.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu diperoleh menerusi hasil maklumat dan risikan selama dua bulan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai menjadikan rumah dan premis sewa di beberapa lokasi sebagai stor simpanan dadah.
“Dalang kumpulan itu didapati bekerja sebagai pemandu e-hailing dan turut berperanan sebagai pengedar utama bahan haram berkenaan.
“Sindiket itu menggunakan pelbagai taktik bagi mengelak dihidu pihak berkuasa termasuk mencampurkan dadah dalam bentuk jus minuman dan perisa vape,” katanya pada sidang akhbar di IPK negeri di sini, hari ini.
Menurut Hussein, pihaknya merampas pelbagai dadah yang dianggarkan mampu dibekalkan kepada lebih 43,000 penagih sehari.
“Rampasan itu termasuk serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 26 kilogram (kg), ketamin (4.7kg), serbuk dan pil ekstasi, cecair dadah dan katrij vape yang mengandungi bahan terlarang.
“Selain itu, polis menyita lima kenderaan mewah, jongkong emas, barangan kemas, jam dan beg tangan berjenama serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM341,000,” ujarnya.
Kata beliau, ujian saringan air kencing mendapati enam suspek positif dadah manakala tiga lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Selain pemandu e-hailing, mereka antaranya bekerja sebagai penjaja makanan, tukang gunting rambut, ‘personal shopper.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah Hussein, pihaknya sedang giat mengesan saki baki individu yang terlibat dalam kegiatan itu termasuk mengenalpasti sumber bekalan dadah. – UTUSAN