Patung emas antara barangan mewah RM16 juta disita SPRM

Patung emas antara barangan mewah RM16 juta disita SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barangan mewah seperti beg tangan, syiling dan patung emas antara disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman individu bergelar Tan Sri berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Turut dirampas satu set alatan kasino berjenama mewah dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM16 juta.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, sitaan itu merangkumi 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta diikuti 11 utas jam tangan bernilai RM1 juta.

Turut dirampas iaitu jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta serta berlian dan barangan kemas (RM4 juta) hasil penggeledahan Bahagian Siasatan SPRM di kediaman individu berkenaan.

“Hasil penggeledahan itu, set alatan kasino berjenama mewah yang disita bernilai RM150,000.

“SPRM turut menemukan sebuah bilik rahsia kebal yang juga tempat simpanan senjata dan peluru namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” katanya di sini.

Tambah kenyataan itu, proses merakam keterangan dilakukan SPRM turut menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) setelah mengesyaki wujud bilik rahsia dalam kediaman individu berkenaan.

Pasukan ACTS digunakan dalam proses penggeledahan kediaman individu terbabit di Cheras kerana individu berkenaan disyaki menyimpan senjata dalam sebuah bilik rahsia.

“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang berharga termasuk senjata.

“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang yang disita untuk dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penggeledahan dan sitaan berkenaan serta beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.

Azam berkata, proses rakaman keterangan individu terbabit ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatan Tan Sri tersebut.

Semalam media melaporkan, kediaman pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri yang disiasat berkaitan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, disyaki mempunyai bilik rahsia untuk menyimpan aset dan barangan berharga hasil penyelewengan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN