PETALING JAYA: Mayat pejalan kaki yang terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong dekat sini, ditemukan pagi tadi.
Penemuan mayat lelaki oleh pasukan penyelamat pada jarak 150 meter dari lokasi kemalangan, kira-kira pukul 7.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, identiti mangsa belum dikenal pasti dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasi semula mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, seorang pejalan kaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh kereta di Jalan Ipoh.
Kejadian pada pukul 11.45 pagi itu berlaku apabila kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda hilang kawalan.
Siasatan awal mendapati, insiden turut membabitkan kereta Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun dari arah Batu Kentomen. – UTUSAN