PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Taiwan ditahan selepas menceroboh sebuah kondominium di Jalan Excella, Kosas 5, dekat sini semalam.
Penahanan lelaki berusia 27 tahun itu turut dilakukan kerana melakukan perbuatan khianat.
Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, suspek dilihat menceroboh kawasan terbabit sebelum pengawal keselamatan mengejarnya selepas cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.
Malah pemeriksaan turut mendapati berlaku kerosakan pada papan kekunci akses kad yang dilakukan oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, anggota unit peronda polis (MPV) Balai Polis Ampang yang menerima panggilan berhubung kejadian itu kemudian ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba, anggota polis bertemu dengan pengawal keselamatan kondominium yang mendakwa suspek melakukan pencerobohan dan khianat harta benda.
“Pemeriksaan fizikal tidak menemukan sebarang barang salah. Pihak polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek dan dibawa balik ke Balai Polis Ampang bagi siasatan lanjut.
“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Ampang untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN