JEMPOL: Dua penunggang motosikal maut dalam nahas termasuk melibatkan sebuah kereta di Kilometer (KM) 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, kemalangan berlaku lebih kurang pukul 8.58 malam apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Simpang Pertang ke Bahau di sini.
“Tiba di lokasi kejadian kereta itu dipercayai telah melanggar belakang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga Pakistan.
“Motosikal itu telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah lagi motosikal ditunggang seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian ialah Sher Zamin Khan, 44 dan Muhammad Zulhaidi Iqhwan Abdullah, 26,
Kata beliau kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian dan memandu secara melulu atau berbahaya. – UTUSAN