PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggagalkan cubaan menyeludup masuk barangan larangan tanpa permit sah dalam dua rampasan berasingan di Pelabuhan Utara, Klang.
Rampasan utama membabitkan 20 unit dron pertanian jenis DJI Agras T50 bernilai RM1.56 juta yang diikrarkan sebagai ‘kitchen towel’ untuk mengaburi pihak berkuasa, cuba diseluruh dari Asia Barat.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, rampasan dibuat pada 23 April lalu kira-kira pukul 5.15 petang selepas pemeriksaan terhadap kontena bersaiz 20 kaki yang mencurigakan.
“Pemeriksaan rapi bersama pegawai SIRIM Berhad menemui peralatan elektronik itu tanpa Certificate of Approval (COA), seperti diwajibkan di bawah Kod Tarif 8806 untuk pengimportan dron ke Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, kes ini merupakan kali pertama JKDM WPKL merampas dron pertanian yang cuba diseludup masuk tanpa kelulusan sah melalui taktik pengikraran tidak benar di pintu masuk negara.
Difahamkan, dron terbabit dipercayai dibawa masuk ke dalam negara ini untuk digunakan dalam sektor pertanian.
Raizam berkata, nilai sitaan dianggarkan RM1.56 juta dengan jumlah cukai tidak dibayar sekitar RM78,000, dan beberapa individu berkaitan sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan berasingan, JKDM turut menahan satu lagi kontena 40 kaki pada 7 Mei lalu yang membawa masuk 21,351 liter minuman keras pelbagai jenama tanpa permit sah dan cukai.
Pemeriksaan menemukan pelbagai jenama arak bernilai RM1.02 juta tanpa lesen import dan tiada setem cukai yang ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Cukai yang tidak dibayar bagi barangan itu dianggarkan RM1.78 juta menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai mencecah RM2.81 juta.
“Kedua-dua rampasan dipercayai melibatkan dagangan dari negara jiran dan kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan tanpa permit,” katanya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau RM100,000 hingga RM500,000, atau penjara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada ejen pemajuan, penghantaran dan perkapalan yang dipercayai terbabit dalam kedua-dua kes penyeludupan itu. – UTUSAN