PETALING JAYA: Seorang pempengaruh dikenali ‘CEO Batu’ yang direman bagi membantu siasatan dakwaan menghantar mesej berbaur lucah kepada remaja berusia 14 tahun telah dibebaskan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki berusia 22 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat hari ini, “ katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, polis melanjutkan reman seorang pempengaruh dikenali ‘CEO Batu’ selama sehari.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kertas siasatan membabitkan lelaki berusia 22 tahun itu akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Jumaat lalu, polis mengesahkan tangkapan membabitkan CEO Batu susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 14 tahun telah menerima mesej dan gambar berunsur seksual melalui aplikasi media sosial daripada lelaki berkenaan.
Noor Ariffin dilaporkan berkata, suspek telah menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu. – UTUSAN