KUALA TERENGGANU: Seorang guru kerugian hampir RM10,000 dan kempunan menikmati harum manis selepas terpedaya dengan sindiket pembelian dalam talian yang tidak wujud.
Mangsa seorang wanita berusia 46 tahun melihat iklan jualan harum manis pada 23 April lalu dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat pembelian buah tersebut.
“Mangsa diminta memuat turun satu aplikasi bagi membuat tempahan dan mengisi semua maklumat yang diminta. Selepas itu, mangsa menerima satu QR Code bagi tempahan tersebut dan diminta untuk menghantarkannya semula kepada suspek.
“Dalam masa sama, suspek menghubungi mangsa melalui panggilan telefon menyebabkan telefon bimbit mangsa terpadam dengan tiba-tiba sebelum aktif semula beberapa minit selepas itu. Mangsa beranggapan situasi itu adalah perkara biasa dan tidak mengendahkannya,” katanya hari ini.
Namun, Azli berkata, keesokan harinya, mangsa mendapati wang simpanan sebanyak RM9998.51 dalam akaun tabung hajinya telah hilang.
“Hasil semakan mendapati terdapat dua transaksi dari akaun tabung haji ke akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke satu akaun bank lain yang tidak dikenali. Mangsa membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN