PETALING JAYA: Lelaki gelandangan dipercayai melempar batu ke arah sebuah kereta di Stesen Monorel Imbi dekat sini, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd. Din berkata, suspek berusia 55 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut dijalankan.
“Kita masih menyiasat motif sebenar suspek tersebut bertindak sedemikian. Siasatan lanjut dijalankan termasuk kemungkinan sama ada lelaki itu tidak waras atau sebaliknya.
“Kita akan menghantar lelaki terbabit ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai melempar batu ke arah sebuah kenderaan di Stesen Monorel Imbi dekat sini.
Nuzulan dilaporkan berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian terbabit kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun di sekitar stesen berkenaan pada 5.30 petang semalam.
“Siasatan berkaitan kes terbabit dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










