Dendam dipercayai punca mangsa ditetak

Dendam dipercayai punca mangsa ditetak

SALAH seorang suspek diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, Jasin, Melaka untuk permohonan reman. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pergeseran lampau dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan suspek bertopeng dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, senjata yang digunakan suspek masih belum ditemukan sehingga kini.

Ujarnya, setakat ini lima suspek berusia antara 21 hingga 31 tahun telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

“Punca mangsa ditetak adalah disebabkan pergaduhan sebelum ini sesama mereka. Walau bagaimanapun, setakat ini polis masih belum menjumpai senjata yang digunakan suspek dalam pergaduhan tersebut.

“Tangkapan terbaharu membabitkan suspek lelaki berusia 23 tahun. Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam di Jalan Bemban dan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 September.

“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, polis sedang menyiasat sama ada kes bunuh seorang lelaki yang ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan suspek bertopeng dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru mempunyai kaitan dengan pergaduhan kumpulan kongsi gelap.

Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan kesemua suspek terlibat.

Dalam kejadian pada pukul 8.39 malam itu, mangsa cuba diselamatkan oleh adiknya yang berusia 22 tahun dengan membawa mangsa ke hospital, namun kumpulan berkenaan mengejar sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Kumpulan itu turut bertindak mengepung kereta adik mangsa sebelum memecahkan cermin kenderaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN