ALOR GAJAH: Seorang penganggur berusia 36 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana disyaki meliwat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek yang merupakan suami kepada pengasuh mangsa ditahan di Taman Kebaya, Paya Datuk di sini, semalam.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat ibu mangsa berusia 33 tahun kelmarin, selepas terlihat mangsa yang merupakan anak sulungnya menonton video lucah menggunakan telefon pintar.
“Ibunya bertanya kepada mangsa, siapa yang mengajar melihat video tersebut dan mangsa memberitahu telah diajar oleh suami kepada pengasuhnya.
“Kemudian mangsa memberitahu, suspek ada menyuruhnya meniru aksi tersebut. Suspek dipercayai telah meliwat mangsa beberapa kali sejak 2022 sehingga sekarang.
“Mangsa akan dihantar kepada pengasuh dari pukul 3 sehingga 6 petang setiap hari selepas waktu persekolahan, kecuali hari cuti berikutan ibunya keluar bekerja,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ashari, mangsa memaklumkan suspek melakukan perbuatan itu semasa ketiadaan isterinya di rumah. – UTUSAN










