Arak, rokok seludup bernilai RM12.8 juta dirampas di Johor

Arak, rokok seludup bernilai RM12.8 juta dirampas di Johor

NADZRI Che Ani menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas ketika sidang akhbar di Pejabat JKDM Melaka, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelbagai jenama arak dan rokok seludup bernilai RM12.8 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui dua rampasan di Johor Bahru dan Batu Pahat, Johor.

Pengarah JKDM Melaka, Nadzri Che Ani berkata, pada Isnin lalu pihaknya merampas sebanyak 4,222.56 liter minuman keras melibatkan nilai termasuk cukai berjumlah RM203,603.12 ditemukan dalam kereta Toyota Estima dan Toyota Lexus.

Jelasnya, kenderaan terlibat merupakan dua daripada tiga kereta yang ditinggalkan suspek selepas dikejar penguat kuasa JKDM kerana disyaki membawa barangan lari cukai.

“Kita mengesan tiga buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan mengejarnya di sekitar Johor Bahru dan Batu Pahat, pemandu bagaimanapun meninggalkan kenderaan dan berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan kita menemui minuman keras dimuatkan dalam kenderaan tersebut dan terdapat cetakan MDNP pada setiap tin yang membawa maksud ‘Malaysia Duty Not Paid’,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Nadzri, JKDM turut merampas rokok dan minuman keras bernilai RM12,593,550 dari sebuah gudang di Parit Sulong, Batu Pahat pada 28 Februari lalu.

Jelasnya, anggota penguat kuasa menunggu hampir enam jam sebelum bertindak memasuki gudang yang berkunci itu.

“Hasil pemeriksaan pasukan menjumpai 15,170,000 batang rokok dan 33,835 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM12 juta yang disimpan dalam gudang dan dua buah lori serta sebuah kontena dalam premis tersebut.

“Kita masih lagi menyiasat sama ada kedua-dua kes mempunyai kaitan atau rangkaian sindiket yang terlibat dalam penyeludupan rokok dan minuman keras bagi pasaran di bahagian selatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×