MELAKA: Sebanyak 259 program advokasi berkaitan penipuan siber dilaksanakan di negeri ini bagi tempoh dua tahun terakhir sebagai usaha berterusan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Polis Kontinjen Melaka telah melaksanakan 113 program manakala 103 program dianjurkan Jabatan Penerangan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan 43 program untuk mencegah peningkatan jenayah penipuan.
Beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKN) pada 18 Oktober 2023 bersetuju meluluskan penubuhan Jawatankuasa Judi Dalam Talian, Penipuan Dalam Talian dan Jenayah Siber.
“Antara inisiatif jawatankuasa ini adalah melancarkan kempen kesedaran dan pendidikan awam mengenai keselamatan siber, risiko penipuan dalam talian dan langkah-langkah pencegahan. Kempen ini melibatkan kerjasama polis, Jabatan Penerangan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Kerjasama pelbagai agensi ini bertujuan untuk menyelaraskan usaha kesedaran agar setiap lapisan masyarakat memahami ancaman jenayah siber dan bertindak proaktif melindungi diri sendiri,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Fairul Nizam, kes penipuan pembelian dalam talian adalah yang tertinggi di Melaka dengan 336 kes direkodkan sepanjang 2023, meningkat 41 peratus berbanding 237 kes pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, kes penipuan pelaburan melonjak dengan ketara iaitu 115 peratus kepada 307 kes membabitkan kerugian berjumlah RM22.3 juta.
“Bagaimanapun terdapat penurunan pada tiga modus operandi penipuan iaitu love scam, penipuan panggilan telefon dan tawaran kerja tidak wujud. Pertuduhan kes jenayah siber juga meningkat seiring peningkatan tangkapan yang dilakukan pihak polis,” ujarnya. – UTUSAN










