Tapak pembinaan rumah teres jadi bilik tidur 232 PATI

Tapak pembinaan rumah teres jadi bilik tidur 232 PATI

SERAMAI 232 PATI ditahan dalam Op Sapu oleh Jabatan Imigresen di sebuah tapak pembinaan perumahan di Tiang Dua, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Serbuan mengejut Jabatan Imigresen di sebuah tapak pembinaan perumahan di Tiang Dua di sini, awal pagi tadi berjaya menahan seramai 232 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang tidur di lokasi berkenaan.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, Operasi Sapu (Op Sapu) selama empat jam berakhir pukul tiga pagi itu berjaya memeriksa 356 pekerja warga asing dari pelbagai negara.

Beliau berkata, kesemua yang diberkas berusia antara 24 hingga 70 tahun memberikan alasan terpaksa tidur di tapak pembinaan rumah teres berkenaan kerana rumah kongsi disediakan majikan mereka terlalu padat.

“Daripada 356 pekerja yang diperiksa, 232 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kebanyakan mereka ditangkap ketika sedang tidur di rumah kongsi serta rumah teres yang masih dalam pembinaan. Mereka adalah warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Myanmar.

“Mengikut pecahan, seramai 82 lelaki dan 12 wanita ditahan adalah warga Indonesia, manakala 134 lelaki dari Bangladesh, seorang Pakistan dan tiga lelaki Myanmar,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai operasi.

Tambah Anirwan Fauzee, PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Mereka ini licik, ada yang ditemui bersembunyi dalam longkang dan di bawah lantai rumah kongsi mereka. Bagaimanapun, kepungan yang dibuat anggota penguat kuasa berjaya memastikan mereka tidak lolos.

“Operasi ini membabitkan seramai 160 pegawai dan anggota termasuk penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya dan Negeri Sembilan serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×