KULIM: Seorang pemuda maut dipercayai akibat ditetak dengan parang dan sabit oleh dua individu dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu, mangsa berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa mengalami kecederaan luka parah akibat serangan menggunakan senjata tajam itu pada tangan, dada, belakang badan dan bahagian muka.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Safuan Md. Noor memberitahu, mangsa dikatakan dikejar dua lelaki terbabit dari luar sehingga ke dalam kedai kopi berkenaan.
“Mangsa kemudian ditetak dengan senjata tajam sehingga rebah sebelum disahkan meninggal dunia di situ. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek-suspek terlibat sedang giat dijalankan. -UTUSAN











