Jangan pinjamkan kenderaan kepada warga asing

Jangan pinjamkan kenderaan kepada warga asing

MUHAMMAD FIRDAUS Shariff memberikan topi keledar baharu kepada seorang penunggang motosikal di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tujuh kenderaan yang dipandu warga asing dalam operasi selama dua jam di Pekan Masjid Tanah di sini, semalam.

Pelbagai alasan diberikan mereka ketika ditahan anggota penguat kuasa, antaranya dengan mendakwa motosikal yang ditunggang dipinjam daripada rakan bagi mengelak kenderaan itu disita.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, selain itu terdapat beberapa kesalahan lain membabitkan warga asing yang dikesan antaranya tidak memiliki lesen memandu, kenderaan tidak mempunyai insurans dan cukai jalan.

“Dalam operasi khas ini, JPJ Melaka berjaya menyita sebanyak 17 kenderaan yang mana tujuh daripadanya dipandu oleh warga asing. Mereka mendakwa tidak tahu berkaitan undang-undang perlunya memiliki lesen, tidak dimaklumkan pemilik kenderaan dan ada yang mendakwa mereka meminjam kenderaan rakan untuk bebas bergerak di sekitar Masjid Tanah.

“Kali ini kita berjaya memeriksa 428 kenderaan dan telah menyita 14 motosikal serta tiga kereta yang mana tujuh daripadanya dipandu dan ditunggang warga asing.

“Rakyat tempatan diminta peka agar tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka kerana jika ia berlaku, tindakan tegas akan diambil. Buat masa ini, JPJ akan menyita kenderaan ini dan pemilik serta pemandu warga asing ini akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai operasi.

Tambah Muhammad Firdaus, dalam operasi sama pihaknya turut menjalankan advokasi yang memfokuskan kepada keselamatan penunggang motosikal.

Jelasnya, pertukaran topi keledar dan risalah keselamatan jalan raya turut diberikan kepada pengguna jalan raya.

“Selain itu, seramai 24 orang turut diarah menjalani saringan air kencing dalam operasi berkenaan dan kesemuanya negatif barang terlarang.

“Dalam operasi ini sebanyak 107 daripada keseluruhan kenderaan yang diperiksa telah dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan seperti kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), lesen memandu, kesalahan teknikal dan lain lain kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×