MELAKA: Hanya berseluar dalam sambil bersembunyi dalam sebuah almari, itu antara cubaan warga asing untuk meloloskan diri ketika penempatan mereka di sekitar Kelemak, Alor Gajah dan Taman Desa Bertam di sini, diserbu Jabatan Imigresen semalam.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, beberapa premis terpaksa dipecahkan pintu kerana tidak mendapat kerjasama penghuni.
Jelasnya, penempatan diserbu juga agak padat dan kotor lantas menimbulkan perasaan tidak selamat selain mengganggu keselesaan penduduk setempat.
Ujarnya, Operasi (Op) Sapu dan Op Selera yang dilaksanakan pada pukul 11 malam semalam adalah berdasarkan aduan awam berkaitan kebanjiran warga asing di dua kawasan yang menjadi penempatan pekerja sektor pembinaan.
“Seramai 192 warga asing telah diperiksa dan hasil dokumentasi dijalankan telah menahan 134 orang terdiri daripada 101 lelaki Bangladesh, 25 lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Nepal serta enam lelaki Myanmar atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 25 hingga 48 tahun. Semasa serbuan dijalankan terdapat segelintir warga asing yang berada di penempatan itu cuba melarikan diri dan ada yang bersembunyi di celah kayu dan almari.
“Bagaimanapun usaha itu gagal dan berjaya ditahan anggota penguat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Tambah Anirwan Fauzee, antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Ujarnya, kesemua yang ditangkap dihantar ke Depot Imigresen Machap Umboo dan pihaknya akan mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing untuk tindakan selanjutnya.
“Sebanyak enam saman kepada saksi telah dikeluarkan untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. Kita memberi amaran kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan individu yang melindungi mereka, bahawa mereka sentiasa dalam pemantauan pihak penguatkuasaan,” tegasnya. – UTUSAN










