Belum ada petunjuk kehilangan ‘Boss Mario’

Belum ada petunjuk kehilangan ‘Boss Mario’

YEW Lee Lee menunjukkan gambar Mario di telefon pintarnya ketika ditemui di Taman Pertam Jaya, Semabok, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hampir tiga hari berlalu, kehilangan pempengaruh media sosial, Yew Boon Xiang, 30, atau lebih dikenali sebagai ‘Boss Mario’ kekal misteri tanpa sebarang petunjuk.

Menurut adiknya, Yew Lee Lee, 27, Mario yang mengusahakan perniagaan menjual peralatan gajet dipercayai hilang sejak Jumaat lalu, selepas keluar memandu ke Pantai Klebang di sini, sekitar pukul 3 pagi.

Lee Lee berkata, hanya kereta abangnya ditemukan di lokasi berkenaan dalam keadaan berkunci, namun sehingga hari ini mereka masih gagal menemukan sebarang petunjuk akan keberadaan Mario.

Jelasnya, kali terakhir Mario berhubung melalui aplikasi WhatsApp adalah kira-kira pukul 8 pagi pada hari kejadian.

“Mario menghantar resit pembelian pelanggan, kemudian tiada lagi komunikasi antara dia dan keluarga. Sudah tiga hari dia hilang tanpa sebarang petunjuk, memang merisaukan kami tidak tahu dia di mana, dengan siapa dan bagaimana keadaannya.

“Pada pengetahuan saya, Mario tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa. Perniagaan juga baik tidak ada masalah, jadi kita pun tidak tahu apa yang terjadi.

“Sejak kehilangan Mario, kami ada menerima maklumat daripada orang awam mengenai keberadaannya termasuk di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, namun polis mendapati info tersebut adalah palsu,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kehilangan Mario dilaporkan abangnya di Balai Polis Batang Tiga pada pukul 9.35 malam Jumaat lalu, selepas dia tidak menjawab panggilan telefon sejak pukul 8 pagi.

“Panggilannya berkali-kali tidak berjawab dan perkara itu tidak pernah berlaku. Disebabkan itu, abangnya pergi ke rumah Mario di Taman Pertam Jaya untuk memeriksa keadaan, namun adiknya itu tidak ada di rumah.

“Hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, Mario keluar rumah dengan menaiki keretanya jenis Honda City pada pukul 3 pagi, sebelum dia mendapat tahu kereta itu diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci pada pukul 6 petang,” katanya.

Mario mempunyai hampir 500,000 pengikut di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN