Mengaku pelancong, tetapi tinggal di rumah kongsi

Mengaku pelancong, tetapi tinggal di rumah kongsi

SERAMAI 75 PATI ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di Limbongan dan Krubong, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Taktik seorang warga asing menyorok di bawah rumah kongsi sebuah tapak pembinaan di Limbongan di sini, gagal apabila dia dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam serbuan awal pagi tadi.

Mengaku memasuki negara ini sebagai pelancong, namun keberadaannya di tapak pembinaan berkenaan amat meragukan.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, lelaki berusia 24 tahun itu antara 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam dua serbuan di Limbongan dan Krubong.

Katanya, mereka yang ditahan dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an terdiri daripada 41 warga Indonesia, Bangladesh (26), Myanmar (7) dan India (1).

“Mereka ini akan melakukan pelbagai cara dan alasan untuk meloloskan diri. Selain itu, terdapat pegawai kita dilanggar PATI yang cuba meloloskan diri melalui jalan tikus, namun berjaya dicekup.

“Operasi dengan kekuatan seramai 59 pegawai dan anggota dilakukan susulan menerima aduan orang awam serta risikan yang dijalankan sejak dua minggu lalu.

“Kita mengeluarkan 11 saman saksi bagi membantu siasatan dan kesemua PATI yang ditahan itu ditempatkan di Depoh Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi kira-kira pukul 4 pagi.

Tambah Anirwan Fauzee, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959 serta Peraturan 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Jelasnya, antara kesalahan dikesan adalah tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas dan lain-lain kesalahan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, Jabatan Imigresen Melaka melaksanakan 614 operasi dengan memeriksa seramai 5,159 warga asing dan daripada jumlah itu 1,529 daripadanya bersama 31 majikan telah ditahan.

“Dalam tempoh itu juga seramai 663 individu termasuk 639 PATI dan 24 majikan telah didakwa di mahkamah selain kutipan kompaun berjumlah lebih RM1 juta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN