MELAKA: Hanya kira-kira dua minggu dilepaskan dari penjara atas kesalahan berkaitan pengedaran dadah, seorang bekas banduan ditahan polis semalam selepas disyaki terlibat dengan dua kes ragut dan samun sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 30 tahun itu diberkas bersama dua lagi rakan sejenayahnya masing-masing berumur 28 dan 27 tahun.
Katanya, mereka ditahan susulan laporan dibuat seorang mangsa wanita yang diragut di Jalan Melaka Raya 23 di sini, ketika sedang berjalan bersama ibunya menuju ke tempat letak kenderaan.
“Kejadian berlaku lebih kurang pukul 5 petang pada 13 November. Mangsa didatangi sebuah motosikal dari arah belakang dipercayai dinaiki salah seorang suspek telah meragut beg jinjit dibawa mangsa.
“Dalam beg itu mengandungi peralatan peribadi termasuk komputer riba, tablet dan juga beg duit. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kejadian tersebut.
“Pada hari sama lebih kurang pukul 9.40 malam, Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dibantu D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menangkap tiga suspek di Taman Seri Tanjung serta berlaku pergelutan semasa proses dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, siasat awal mendapati, kesemua suspek mengaku terlibat dengan dua kes samun dan ragut pada hari sama.
Jelasnya, bekas banduan itu baharu sahaja dibebaskan pada 30 Oktober lalu selepas menjalani hukuman selama tiga bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Polis merampas beberapa barangan milik mangsa termasuk motosikal yang digunakan suspek,” jelasnya. – UTUSAN