MELAKA: Kegiatan sebuah premis yang dijadikan stesen minyak mini menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pihak industri di Taman IKS Paya Rumput dekat sini, berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, malam Isnin lalu.
Dalam satu serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah malam, empat suspek berusia antara 20-an hingga 40-an berjaya ditahan. Polis turut merampas kira-kira 25,500 liter diesel, lori dan pelbagai peralatan mengepam dianggarkan bernilai RM320,000.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, polis menyerahkan kes berkenaan kepada KPDN untuk tindakan lanjut pada pukul 11.00 pagi, semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, ia merupakan modus operandi terbaru sindiket yang menggunakan pakai dua premis dengan salah satunya dijadikan gudang penyimpanan.
Jelasnya lagi, satu lagi premis dibuat seperti sebuah stesen minyak di mana pembeli perlu datang membawa lori sebelum diesel bersubsidi dipam masuk ke dalam tangki penyimpanan.
“Ini adalah modus operandi pertama di Melaka apabila pihak sindiket menjual bahan api itu secara runcit dan bukan lagi menggunakan lori industri seperti lazimnya.
“Terdapat sedikit kelainan pada serbuan kali ini apabila sindiket tidak lagi keluar menghantar minyak, sebaliknya lori industri akan datang ke premis ini untuk mengisi diesel pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Sindiket ini masih baru lagi, dalam lingkungan dua atau tiga bulan beroperasi di dua premis yang dilengkapi dengan beberapa tangki simpanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Tambah Norena, empat suspek ditahan adalah warga tempatan yang merupakan pekerja kepada sindiket dengan menjalankan aktiviti menjual dan mengepam diesel kepada pembeli dipercayai daripada pihak industri.
Menurutnya, sindiket dipercayai membeli diesel bersubsidi dari beberapa stesen minyak sekitar Melaka.
“Bahan api haram itu dipercayai dijual dengan murah kepada pembeli dengan harga RM4 seliter berbanding RM4.30 seliter mengikut harga pasaran. Risikan ke atas premis berkenaan telah dibuat selama sebulan oleh polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20 (1) akta sama,” jelasnya. – UTUSAN










