Sah, mayat dijumpai di Alor Gajah ialah Darvnrajh - Polis

Sah, mayat dijumpai di Alor Gajah ialah Darvnrajh – Polis

SI mati mengalami kecederaan parah akibat kecederaan daripada objek tajam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas hampir 11 hari kehilangan R. Darvnrajh, 24, menjadi tanda tanya kepada ahli keluarganya, polis hari ini mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan dalam keadaan seperti hangus terbakar dalam semak di Alor Gajah di sini, Sabtu lalu adalah pemuda itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ahli keluarga Darvnrajh menunjukkan keputusan sepadan dengan mayat berkenaan.

“Keputusan DNA menunjukkan ia sepadan dengan kes orang hilang di Tampin, Negeri Sembilan,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki hilang selepas tidak pulang ke rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, Darvnrajh kali terakhir dilihat bersama rakan-rakannya sekitar awal pagi 10 September lalu.

Isnin lalu, Zainol memaklumkan, identiti mayat ditemukan dalam keadaan seperti hangus terbakar dalam semak di Alor Gajah belum dapat disahkan ialah Darvnrajh yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 10 September lalu di Tampin.

Beliau berkata, mayat tanpa identiti berseluar jeans dalam keadaan berulat serta hampir reput itu ditemukan orang awam di tepi jalan Ladang Gadek, Kemuning.

Jelasnya, hasil bedah siasat menunjukkan, mayat berkenaan tidak dibakar sebaliknya keadaan fizikal seakan-akan hangus adalah disebabkan banyak tisu-tisu badan mangsa telah hilang akibat proses pereputan.

Tambah Zainol, si mati mengalami kecederaan parah akibat kecederaan daripada objek tajam.

“Siasatan melibatkan kes ini pada asalnya diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). Namun, hasil bedah siasat dijalankan pegawai perubatan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah mengesahkan, mangsa mempunyai kesan kecederaan pada bahagian badan serta kepala.

“Kes ini telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN