RM8.3 juta produk kesihatan tak berdaftar dirampas di Melaka

RM8.3 juta produk kesihatan tak berdaftar dirampas di Melaka

RUSDI Abd. Rahman (dua dari kanan) menunjukkan produk kesihatan tidak berdaftar yang dirampas dalam Op Pharma dalam sidang akhbar khas operasi itu di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas 642 produk kesihatan tidak berdaftar dan lima peranti digital membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM8.3 juta menerusi Op Pharma, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, jumlah rampasan itu merupakan yang terbesar di Melaka setakat ini.

Katanya, operasi bersepadu itu melibatkan CPF Negeri Sembilan dan Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan.

“Serbuan bermula pukul 2 petang dan tamat kira-kira pukul 10 malam itu membabitkan tujuh premis di sekitar bandar Melaka yang menjual produk mengandungi steroid anabolik dan tidak berdaftar. Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua tahun.

“Produk yang dirampas diperolehi dari pelbagai negara. Kita percaya produk ini dijual secara tidak sah untuk pasaran dalam negara.

“Modus operandi adalah menjual produk ini secara dalam talian melalui rumah kedai, rumah dan bangunan yang dijadikan stor penyimpanan. Mereka dipercayai sudah aktif sejak lebih dua tahun,” katanya dalam sidang akhbar Op Pharma di sini, hari ini.

Tambah Rusdi, setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi pihaknya telah mengenal pasti dua suspek lelaki termasuk seorang warga asing.

Menurutnya, kedua-dua suspek sebelum ini pernah didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan. Ada kemungkinan pemain-pemain lain yang lebih besar turut terlibat dalam penjualan haram ini.

“Kita sedang cuba cari rangkaian aktiviti yang dijalankan. Operasi semalam turut dijalankan serentak di negeri lain tetapi tidak sebesar Melaka kerana berperanan sebagai peruncit atau penjualan semula sahaja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN