Geng penghantar makanan diberkas bawa syabu guna kereta sewa

Geng penghantar makanan diberkas bawa syabu guna kereta sewa

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai lebih setengah juta ringgit dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam serbuan dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Padang Temu di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan dan penghantar barang dipercayai cuba membawa masuk syabu seberat 20,386 gram dianggarkan bernilai RM672,838 dari Selangor.

Beliau memaklumkan, suspek bertindak menyewa sebuah kereta jenis Perodua Bezza untuk menjalankan modus operandi mereka yang menyasarkan para penagih sekitar Banda Hilir serta bakal diseludup untuk pasaran luar negara.

“Pada 13 September 2023 lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, kita berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah syabu di sekitar Banda Hilir. Hasil serbuan ke atas sebuah kereta, polis berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berumur 26 hingga 27 tahun di Padang Temu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta tersebut, polis telah merampas syabu seberat 20,386 gram yang dianggarkan bernilai RM672,838. Kita turut menyita harta milik ketiga-tiga individu ditahan ini antaranya sebuah Perodua Bezza bernilai RM35,000.

“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak awal 2023 dan kesemua dadah dirampas dipercayai untuk pasaran luar negara yang boleh digunakan seramai 101,930 penagih,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

CHRISTOPHER PATIT

Tambah Christopher, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta disita dianggarkan berjumlah RM707,838.

“Ketiga-tiga individu direman selama tujuh hari bermula 14 September hingga 20 September ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN