MUAR: Hanya satu kes melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram manakala 11 lagi laporan polis melibatkan isu pemasangan poster sepanjang tempoh berkempen 26 hingga 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan, kes 3R itu melibatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang namun tidak dikendalikan oleh kontinjennya.
Katanya, kertas siasatan dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dia dipanggil oleh Bukit Aman dan siasatan sedang berjalan kerana laporan polis dibuat di Kuala Lumpur. Namun, polis Johor turut membantu dalam siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Taman Perumahan Polis, Muar di sini, hari ini.
Jelasnya, 11 lagi laporan polis meliputi tiga daerah dengan Johor Bahru Utara mencatatkan laporan tertinggi sebanyak tujuh kes, diikuti Johor Bahru Selatan dengan tiga kes dan satu di Iskandar Puteri.
“Jadi, laporan polis mengenai 3R satu kes sahaja, yang lain tidak puas hati dengan pemasangan poster atau berkaitan poster. Tiada laporan polis berkaitan pergaduhan, kerosakan dan sebagainya, kita berharap keadaan ini berterusan,” katanya. – UTUSAN










