MELAKA: Polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah masuk stesen minyak sekitar daerah Melaka Tengah selepas tertangkapnya seorang suspek lelaki berusia 32 tahun yang juga penagih dadah, pada Selasa lalu di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek yang aktif sejak Mei tahun ini dipercayai menjalankan kegiatannya menggunakan peralatan seperti tukul untuk memecahkan kaca premis sehingga membolehkannya memasuki stesen minyak terlibat dan mencuri harta benda.
Beliau berkata, kejayaan itu juga berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes sama membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dengan anggaran kerugian mencecah RM50,000.
“Sejak Mei 2023, kita telah menerima tiga laporan daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak berkaitan kejadian jenayah pecah masuk premis yang mengakibatkan kerugian wang tunai dan kerosakan kaca pintu yang dipecahkan.
“Modus operandi suspek adalah menggunakan alatan seperti tukul besi untuk memecahkan kaca premis sehingga membolehkan suspek memasuki premis tersebut dan mencuri harta benda.
“Risikan maklumat telah dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pada 15 Ogos 2023 polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di Kuala Lumpur dan berjaya merampas sebuah kereta dan pakaian-pakaian digunakan semasa kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, saringan ujian air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis syabu, selain mempunyai rekod jenayah melibatkan kes samun dan dadah.
“Jika disabitkan dengan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau sebat,” katanya. – UTUSAN










