MELAKA: Tindakan pantas seorang remaja lelaki berjaya menyelamatkan bayi perempuan yang masih bernyawa dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, selepas mendengar tangisan bayi berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam, remaja berusia 18 tahun itu bertindak memaklumkan kejadian tersebut kepada bapanya.

Beliau berkata, bayi itu dipercayai baharu dilahirkan berikutan ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan hanya dibalut menggunakan tuala.
“Remaja tersebut memberitahu kepada bapanya, yang merupakan pengadu dalam kes ini mengenai perkara itu dan pengadu telah pergi ke tong sampah untuk memeriksa suara didengari anaknya.
“Pengadu kemudian menjumpai satu beg plastik putih dan mengesyaki bunyi tersebut adalah suara bayi yang baru dilahirkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, pengadu kemudiannya membawa beg plastik berisi bayi berkenaan ke Balai Polis Batang Tiga dan membuat laporan pada pukul 10.50 malam.
Jelasnya, pegawai perubatan bertugas memaklumkan bayi malang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan sedang berada di wad penjagaan rapi Hospital Melaka.
“Pengadu datang ke balai polis membawa beg plastik berisi bayi itu dan polis telah meminta pasukan perubatan dari Hospital Melaka untuk hadir ke balai bagi memberikan bantuan awal.
“Pegawai perubatan tiba pada pukul 11.10 malam dan pemeriksaan kesihatan dilakukan, selain tali pusat beserta uri turut dipotong. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










