Datang dari Perak untuk pecah tabung masjid di Melaka

Datang dari Perak untuk pecah tabung masjid di Melaka

DUA suspek ditangkap di Bota, Perak berhubung satu laporan polis berkenaan jenayah pecah tabung dibuat bilal sebuah masjid di Bukit Katil, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua pemuda masing-masing berusia 21 dan 23 tahun sanggup datang dari Perak ke Melaka, semata-mata ingin memecahkan tabung masjid bagi mencuri wang sumbangan orang ramai untuk perbelanjaan harian mereka dan membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek ditangkap di Bota, Perak susulan satu laporan polis dibuat bilal sebuah masjid di Bukit Katil di sini, pada 8 Februari lalu.

Beliau berkata, penahanan itu berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes pecah tabung masjid sekitar Melaka Tengah, yang mana geng berkenaan didapati aktif sejak awal 2023.

“Pada 8 Februari 2023, satu laporan polis telah dibuat oleh bilal sebuah masjid di Bukit Katil yang menyatakan bahawa dua buah tabung masjid telah dipecahkan sehingga menyebabkan kerugian dianggar lebih kurang RM300.

“Satu serbuan telah dijalankan dan berjaya menahan dua lelaki di kawasan Bota yang masing-masing berumur 21 dan 23 tahun. Polis berjaya merampas peralatan digunakan suspek iaitu sebatang pemutar skru, pakaian dan topi keledar yang digunakan semasa melakukan pecah tabung tersebut.

“Siasatan mendapati wang tunai yang dicuri telah digunakan untuk perbelanjaan harian serta membeli bekalan dadah. Geng ini aktif melakukan jenayah pecah tabung masjid dan surau
sejak awal 2023,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang kegiatan jenayah atau aktiviti mencurigakan supaya menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN