MELAKA: Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila terpaksa bergelut dengan dua penyamun bermotosikal di hadapan rumah sendiri di Taman Megah, Klebang di sini, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam, Sabtu lalu.
Mangsa, Gue Boon Guan, 65, berkata, mereka didatangi dua lelaki sewaktu tiba di hadapan rumah selepas keluar dengan isterinya, Gan Chui Lan, 66.
Menurutnya, seorang suspek yang menggunakan kayu besbol telah memukul cermin kereta bahagian penumpang hadapan Proton Iswara miliknya ketika Chui Lan belum keluar dari kenderaan tersebut.
“Selepas itu seorang lagi suspek cuba menyerang isteri saya, namun dia sempat keluar dan mencampakkan beg tangan ke halaman rumah. Suspek terus memanjat pagar rumah untuk mengambil beg tangan manakala seorang lagi telah memukul saya dengan kayu besbol pada bahagian kaki kiri.
“Sejurus suspek berjaya mendapatkan beg tangan dan dompet, mereka terus melarikan diri selepas anak keluar untuk memberi pertolongan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong di sini, semalam.
Tambah Boon Guan, mereka mengalami kerugian kira-kira RM400 selepas disamun, selain kecederaan pada kaki kiri dan pipi. Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Batang Tiga pada malam kejadian.
Dalam pada itu, Ban Hong meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan rondaan pada waktu malam, ekoran kekerapan berlakunya kes pecah rumah dan samun di Taman Megah, termasuk kawasan sekitar.
Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang bimbang dengan keselamatan diri memandangkan kejadian jenayah kerap berlaku di situ.
“Mujur pasangan warga emas itu hanya mengalami kecederaan ringan, suami dipukul dengan kayu besbol di kaki kiri manakala isteri luka di pipi terkena serpihan cermin kereta.
“Jika polis melakukan kekerapan rondaan di kawasan sekitar, saya yakin penjenayah tidak akan berani untuk melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu lagi. Bukan setakat samun, rumah mangsa juga sudah dua kali dimasuki pencuri beberapa tahun lalu serta beberapa jiran yang lain,” katanya. – UTUSAN